BACHOK, 9 Ogos - Malaysia komited menjadi pengantara bagi menyelesaikan pertelingkahan di Selatan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau berkata, Malaysia menyatakan kesediaan untuk terus berusaha menghentikan ketegangan dan keganasan antara kedua-dua negara.
“Ada kesediaan mereka untuk terus mengambil usaha menghentikan ketegangan, terutama keganasan di kedua-dua pihak dan saya percaya dengan kebijaksanaan pimpinan negara Thai, kita akan terus cuba berusaha dan tambah ikhtiar untuk cari kedamaian dan keamanan supaya kawasan itu boleh dibangunkan, pengajian Islam diteruskan dan bahasa Melayu dimartabatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin dan penuntut Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Taman Sri Cempaka pada Jumaat.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyifatkan proses rundingan damai yang dilakukan Malaysia berjaya mengurangkan ketegangan di Myanmar menyebabkan serangan terhadap umat Islam terutama Rohingya jauh berkurangan.
Perdana Menteri berkata, proses rundingan damai yang dikendalikan Malaysia terbukti berjaya mengurangkan ketegangan di Myanmar.
"Serangan terhadap umat Islam terutama Rohingnya jauh berkurangan, sebab itu Malaysia harus teruskan," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia berharap penyelesaian pendamaian antara Thailand dan Kemboja dapat dikekalkan, sekali gus membantu umat Islam di kedua-dua negara berkenaan.
Sementara itu, Anwar memaklumkan kerajaan meluluskan bantuan berjumlah RM2.1 juta bagi membaik pulih kerosakan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan.
“Untuk permulaan, ada kerosakan besar, kita luluskan RM2.1 juta untuk segera dalam beberapa bulan ini. Kemudian kita akan kaji permohonan keseluruhannya termasuk dalam sekitar 246 sekolah pondok begini yang sangat daif di seluruh negara,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.