fb fb fb fb fb

MTHQA Ke-65: Prestasi bacaan peserta setaraf juara dunia sebelum ini

Pertandingan yang menghimpunkan 71 peserta dari seluruh dunia diadili oleh 18 hakim berpengalaman dari pelbagai negara/Foto JAKIM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Jemaah hakim memuji mutu bacaan peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 yang disifatkan semakin meningkat tahun ini.

Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata wakil negara kecil kini mampu menandingi peserta dari negara besar yang pernah menguasai pertandingan itu.

“Persembahan yang dibuat, sama ada dalam kategori tilawah atau hafazan, menunjukkan peningkatan ketara. Ada yang menghampiri tahap negara-negara juara sebelum ini.

"Selepas tilawah ini, kita perlu membimbing mereka dan saya berhasrat menubuhkan Akademi Qurra’ untuk melatih qari, qariah, hafiz dan hafizah supaya prestasi mereka terus dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas malam akhir persembahan peserta, di sini malam tadi.

Pertandingan yang menghimpunkan 71 peserta dari seluruh dunia itu diadili oleh 18 hakim berpengalaman dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Mesir, Jordan dan Qatar.

Bagi kategori tilawah, penilaian dibuat berdasarkan empat aspek iaitu tajwid, tarannum, fasahah dan suara, manakala kategori hafazan turut mengambil kira dua aspek tambahan iaitu hafazan dan kelancaran bacaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN