fb fb fb fb fb

Indonesia anjur Festival Filem Islam Antarabangsa 2025

Nota Konsep dan Panduan Teknis Festival turut disertakan sebagai panduan bagi memudahkan penyertaan

JAKARTA, 8 Ogos -Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia mengundang seluruh negara anggota Organisasi Kerja Sama Islam (OKI) untuk turut serta dalam Festival Filem Indonesia dan Dunia Islam 2025 yang bakal diadakan pada 19 hingga 21 September depan, di sini.

Festival berprestij tersebut mengangkat tema "Stories of Peace" atau Kisah-Kisah Damai, sebagai wadah memperkenal dan meraikan kepelbagaian budaya Islam global melalui seni perfileman.

Dua acara utama dijadual mengisi festival, iaitu tayangan filem dan diskusi ilmiah mengenai filem, yang terbuka kepada orang ramai.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian, festival itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dan solidariti dalam kalangan negara-negara Islam berlandaskan nilai-nilai murni Islam sejagat seperti moderasi dalam beragama, kedamaian dan keterangkuman (inklusiviti).

Sehubungan itu, negara-negara anggota OKI dipelawa untuk menghantar penyertaan dalam bentuk filem yang akan ditayangkan sepanjang festival berlangsung. Filem boleh dihantar menerusi pautan dalam talian (cloud drive) yang dilindungi kata laluan, atau melalui Pakej Pawagam Digital (Digital Cinema Package (DCP)) yang disalurkan melalui Kedutaan masing-masing.

Pihak penganjur menetapkan tarikh akhir penghantaran filem pada 18 Ogos ini dan sebarang permohonan pelanjutan tempoh, pihak kedutaan boleh berhubung terus dengan pihak panitia.

TETITIA YUSOFF