fb fb fb fb fb

AGC arah kubur Zara Qairina digali semula

Foto fail

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Kubur Zara Qairina Mahathir perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar tingkatan satu berkenaan.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), terdapat keperluan untuk siasatan lanjut dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan ia dilaksanakan dengan menyeluruh.

"Laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah," menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di ibu pejabat di Putrajaya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4.00 pagi 16 Julai lepas.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN