fb fb fb fb fb

Datuk M. Kumar, Pengarah JSJ baharu, menggantikan Datuk Fadil Marsus

 Datuk M. Kumar Muthuvelu/Foto Bernama

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Komisioner Polis, Datuk M. Kumar Muthuvelu dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baharu, menggantikan Deputi Komisioner Polis, Datuk Fadil Marsus yang memangku jawatan tersebut sebelum ini.

Pelantikan turut melibatkan Datin Syanti P. Santanam sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) JSJ yang baharu.

Majlis Serah Terima Tugas Pengarah (JSJ) berlangsung dengan penuh istiadat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan keperluan JSJ memperkukuh kepakaran forensik digital dan mengadaptasi teknologi tinggi bagi menghadapi cabaran jenayah moden, termasuk ancaman kecerdasan buatan (AI), deepfake, perisian hasad dan aktiviti di dark web.

“Kolaborasi rentas agensi serta kerjasama serantau dan antarabangsa perlu dipertingkatkan bagi memastikan penyiasatan berkualiti, berintegriti dan berimpak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan baharu JSJ agar memberi keutamaan terhadap isu-isu kritikal seperti kes pembunuhan dan kematian yang semakin membimbangkan, khususnya di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara itu juga menekankan pentingnya penyeliaan berterusan di semua peringkat, termasuk kontinjen dan daerah, bagi memastikan setiap kelemahan dapat diatasi segera.

“Jika kita merapatkan saf dan memberi keutamaan kepada tugas yang benar-benar penting, pasukan ini akan terus dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Datuk Fadil atas kepimpinan cemerlang ketika memangku jawatan Pengarah JSJ.

Majlis turut dihadiri isteri Ketua Polis Negara merangkap Pengerusi Perkep Malaysia, Datin Sri Hajar Munirah Ciroz, barisan pengarah jabatan, pegawai kanan PDRM serta ahli Perkep.

ASHRIQ FAHMY AHMAD