KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Penyebaran fitnah dan berita palsu menjadi ancaman utama keselamatan negara kerana berisiko menjejaskan pemikiran dan perpaduan rakyat.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa memantau dan menghentikan gerakan yang memanfaatkan fitnah dengan niat jahat.
“Budaya fitnah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap demokrasi dan mengancam keselamatan negara.
Demokrasi hanya lancar jika rakyat ada kepercayaan kukuh,” katanya selepas sesi Sharing Knowledge Friday di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan, Malaysia perlu berwaspada menghadapi ancaman dalam dan luar negara terutama ketika demonstrasi.
“Walaupun Malaysia antara negara paling selamat dunia mengikut Indeks Keamanan Global, ancaman keselamatan global yang tidak menentu memerlukan kita terus berjaga-jaga,” ujarnya lagi.
Raja Datuk Nushirwan berkata, Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) digerakkan secara bersepadu merentasi pelbagai sektor.
Pendekatan integrasi dalam dasar, strategi, operasi dan pengurusan sumber menjadi tonggak utama memperkukuh keselamatan negara.