KUALA LUMPUR, 28 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada pukul 11.00 pagi setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lepas.
Seri Paduka selepas itu berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara.
Baginda menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan baginda.
Pada Ahad, menerusi satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 September lepas.