KUALA LUMPUR, 28 Januari - PERKESO menyasarkan lebih 57,000 petani bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan mencarum ke dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memberi jaminan, skim berkenaan bakal meningkatkan perlindungan kepada golongan petani sekiranya berlaku sebarang musibah.
"Kita pun tidak pasti bila berlaku kemalangan kematian dan sebagainya. Bagaimanapun usaha libat urus, penerangan dan engage semua terlibat dengan MADA akan diusahakan dengan begitu agresif," katanya ketika berucap.
"Sekarang ini dah ada pun seramai 282 orang dah berdaftar dan kita tengah mempromosikan skim ini kepada peladang-peladang di peringkat kawasan," ujar Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli yang optimis para petani akan menyambut baik skim tersebut yang menjamin keselamatan sosial mereka.
PERKESO dan MADA menandatangani Memorandum Persefahaman bagi menjalin kerjasama strategik untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial dapat diperluas kepada golongan Orang Bekerja Sendiri khususnya petani di Kedah.