PUTRAJAYA, 28 Januari - Cadangan mewujudkan semula Kementerian Undang-undang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mendapatkan persetujuan secara prinsip sebelum dibawa ke Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata draf mengenai cadangan itu sudah siap namun masih perlu memperhalusi kebaikan dan keburukannya.
"Proses untuk melaksanakan cadangan itu akan mengambil masa kerana ia melibatkan beberapa pindaan dan perubahan dalam banyak sudut khususnya sumber manusia dan sumber kewangan.
"Jika Kementerian Undang-Undang diwujudkan semula, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang akan menjadi organisasi teras untuk memastikan perkara berkaitan pindaan undang-undang negara dilaksanakan dengan lebih efisien," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), di sini.
Kementerian Undang-undang pernah wujud dengan nama Kementerian Dalam Negeri dan Keadilan pada 1957 sebelum ditukar kepada Kementerian Keadilan pada 1959.
Ia kemudian dikenali sebagai Kementerian Undang-Undang pada 1992 sebelum dibubarkan pada 8 Mei 1995 dan dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Undang-undang yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Menyentuh kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Wan Junaidi berkata CPI akan dapat dipertingkatkan semula sekiranya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terbabit.
Katanya, kedudukan dalam CPI adalah berlandaskan pendedahan rasuah yang banyak.
"Jika sesebuah negara itu ada melakukan rasuah namun tidak dibangkitkan, dia tidak akan diketahui dan persepsi negara itu akan baik sahaja.
"Namun di negara kita, benda yang bukan rasuah pun orang kata rasuah, jadi ini secara tidak langsung akan meningkatkan persepsi. Bagaimanapun, bukan saya menafikan wujudnya rasuah tetapi persepsi itu boleh meningkat oleh kerana kesedaran orang ramai berhubung CPI," katanya.