fb fb fb fb fb

Perdana Menteri tinjau Menara Kuantan 188, Kenderaan RV

KUANTAN, 28 Januari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat lawatan kerja ke Menara Kuantan 188 yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Projek pelancongan ikonik di tengah-tengah bandar raya Kuantan itu telah menerima 23,600 orang pelawat sejak ia dibuka secara rasmi pada 15 Disember 2021 dengan purata 500 pelawat sehari.

Beliau tiba di menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur itu, pada 12.10 tengah hari dengan menaiki kereta bugi dari dari Kompleks Bandaraya Kuantan yang terletak kira-kira 200 meter dari menara itu.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Turut sama ialah Menteri Besar dari negeri Pantai Timur iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan) serta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Setibanya di perkarangan Menara Kuantan 188, Perdana Menteri diberi taklimat, seterusnya meninjau kenderaan rekreasi (RV) atau lebih dikenali sebagai karaven yang merupakan satu daripada produk pelancongan terkini yang dicadangkan oleh ECERDC untuk dibangunkan di sebuah daerah di Pahang.

Beliau bersama rombongan tersebut juga dibawa ke 'skydeck' Menara Kuantan yang menyajikan pemandangan 360 darjah, panorama keseluruhan bandar raya Kuantan.

Media Baharu