fb fb fb fb fb

JBPM Perlis atur gerak persediaan hadapi kes kecemasan sepanjang Tahun Baharu Cina

KANGAR, 28 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis mengatur gerak seramai 180 pegawai dan anggota sebagai persediaan menghadapi sebarang kes kecemasan yang mungkin berlaku sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Menurut Pengarah JBPM Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Ruhisha Haris, 8 buah jentera bomba turut diletakkan pada tahap siap siaga yang tinggi.

Begitu juga kenderaan utiliti dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di semua Balai Bomba dan Penyelamat.

Kesiapsiagaan ini bukan hanya melibatkan kes kecemasan dan kemalangan, tetapi juga kes kebakaran berikutan musim kering yang melanda Perlis ketika ini.

"Kita telah mengarahkan setiap balai melaksanakan ronda raya di tempat-tempat panas yang telah dikenal pasti di kawasan jagaan balai masing-masing.

"Jadi balai-balai telah diberitahu perkara ini dan perkara ini akan dilaksanakan setiap balai dalam tempoh yang kita maklumkan tadi iaitu dua minggu sebelum dan dua minggu selepas setiap kali musim perayaan utama," kata Ruhisha selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis di Ibu Pejabat JBPM Negeri di sini.

Seramai 11 petugas media dari pelbagai agensi termasuk RTM turut menerima sijil penghargaan dan cenderahati atas liputan berkaitan aktiviti dan tugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis, hari ini.

 

Media Baharu