fb fb fb fb fb

Beberapa daerah di Miri dinaiki air


MIRI, 28 Januari - Beberapa daerah dalam Bahagian Miri dilaporkan dinaiki air setakat pukul tiga petang tadi. Ia melibatkan daerah Subis, Marudi, Telang Usan dan Kecil Mulu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Miri, Law Poh Kiong berkata kawasan terjejas di Subis adalah Kampung Bulau, Bekenu; Rumah Mokeng, Bekenu; Rumah Nginan, Saeh Merah; Rumah Linan, Saeh Merah; Rumah Nyala, Saeh Merah dan Rumah Nelson, Saeh Merah.

"Rondaan yang dibuat oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah di Kampung Bulau mendapati paras air setinggi 0.609 meter. Rumah Mokeng pula dalam keadaan terkawal dengan bacaan paras air 0.304 meter.

"Empat buah kampung di kawasan Saeh Merah pula, paras air setinggi 0.101 meter dan tidak menjejaskan aktiviti penduduk," katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, beberapa buah rumah di Kampung Padang Kerbau, Marudi dimasuki air sejak semalam dengan bacaan paras air setinggi 0.304 meter.

Trend air di kawasan terjejas menunjukkan peningkatan namun masih terkawal.

Manakala, di daerah Telang Usan kawasan terjejas melibatkan Kampung Long Bemang dengan paras air setinggi 0.975 meter.

Media Baharu