SIK, 2 Jun- Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) menyampaikan sumbangan persekolahan dan Hari Raya Aidiladha kepada 220 anak-anak yatim di 11 daerah di Kedah bagi tahun 2025.
Che Puan Besar Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun bertitah, ia merupakan acara tahunan yayasan itu untuk membantu anak-anak yatim daripada keluarga kurang berkemampuan di negeri itu.
"Anak-anak yatim ini adalah yang Tok Penghulu, Pegawai Daerah cari yang betul-betul daif, susah, asnaf. Kira mereka yang duduk dengan mak, dengan tok (datuk dan nenek), keluarga yang tak mampu dalam penjagaan.
"Mereka ini akan dibantu untuk mendapatkan apa yang boleh diberikan. Saya pesan tiap-tiap kali saya pegang anak yatim, pesan belajar rajin-rajin esok masa depan tu berjaya," titah baginda.
Tuanku Hajah Haminah bertitah demikian selepas Majlis Pengurniaan dan Sumbangan Persekolahan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah 2025 peringkat Daerah Sik di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Perdana, di sini.
Daerah terlibat ialah Baling, Sik, Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pokok Sena, Kubang Pasu, Yan, Pendang, Kota Setar, Padang Terap dan sumbangan diserahkan secara berperingkat di daerah terlibat bermula 28 Mei lalu hingga 5 Jun ini.
Kesemua anak-anak yatim berkenaan menerima bantuan berupa kelengkapan sekolah, wang tunai dan hamper.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, Datuk Rosli Awang.
Pada majlis itu, ibu tunggal Nor Azlina Ibrahim antara 20 penerima dari Daerah Sik menerima sumbangan.
"Saya nak ucap terima kasih kepada Tuanku atas sumbangan yang diberikan kepada kami sekeluarga. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan saya untuk anak-anak yang asih sekolah selain perniagaan kecil-kecilan.
"Saya berniaga di rumah sahaja. Hasil jualan boleh menampung saya dan anak-anak sebab sini kawasan kampung. Jadi tidak ramai pelanggan, sebulan boleh dapat kira-kira RM100 hingga RM200," katanya.
Sementara itu Mohd Azim Nazri menyifatkan bantuan yang diterimanya dapat melegakan perbelanjaannya untuk keluarga.
"Terima kasih tuanku bagi bantuan untuk Hari Raya Aidiladha ini, untuk anak-anak yatim (saya) ada empat beradik.
"Ayah dah meninggal lama, sekarang ini memang mak yang menanggung keluarga. Mak berniaga kecil-kecilan sahaja," katanya.