fb fb fb fb fb

TXA 2025 pacu Malaysia sebagai hab mobiliti serantau

FOTO RTM

SEPANG, 10 November - Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab mobiliti serantau apabila Kementerian Pengangkutan (MOT) menganjurkan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 dari 11 hingga 13 November di sebuah hotel di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan pada Isnin melaksanakan program tinjauan mesra di TXA 2025 bagi meninjau pameran teknologi terkini serta berinteraksi bersama pemain industri tempatan dan antarabangsa.

Acara serantau yang menghimpunkan lebih 100 syarikat dari lapan negara termasuk China, Jerman, Amerika Syarikat dan Singapura itu dijangka menjadi platform utama memperkasa inovasi serta pembangunan teknologi pengangkutan.

TXA 2025 juga dijangka menarik lebih 3,000 pelawat perdagangan dan 1,000 delegasi antarabangsa.

Bertemakan “Future On The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains”, pameran itu menumpukan kepada pendigitalan sistem pengangkutan, teknologi hijau, serta rantaian bekalan berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

TXA turut menampilkan tarikan teknologi seperti Drone Cage oleh Futurise, bas elektrik oleh eMoovit dan sistem Guided Rapid Transit (GRT) oleh SMH Rail.

Dalam masa sama, RSC 2025 anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan diadakan serentak, mempamerkan sinergi antara keselamatan jalan raya dan kemajuan teknologi mobiliti.

Gabungan TXA dan RSC dilihat memperkukuh usaha Malaysia ke arah sistem pengangkutan yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing di peringkat serantau.

Kemasukan ke TXA 2025 adalah percuma dan orang ramai boleh mendaftar melalui laman web rasmi www.txa.my.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM