KUALA LUMPUR, 10 November - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Kheong mengumumkan, dua pindaan akta penting berkaitan pembangunan kemahiran telah dibentangkan di Parlimen bagi Bacaan Pertama, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] dan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640].
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa pindaan terhadap kedua-dua akta tersebut merupakan langkah penting Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh sistem pembangunan kemahiran negara.
Ia juga bagi memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang berteraskan kemahiran dan teknologi pada masa hadapan.
"Langkah ini membolehkan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memberikan pinjaman dan bantuan kewangan kepada lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk mereka yang mengikuti program latihan bukan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tetapi mempunyai permintaan tinggi oleh industri.
"Melalui pindaan kepada kedua-dua Akta ini, KESUMA yakin sistem pembangunan kemahiran negara akan menjadi lebih inklusif, fleksibel dan berimpak tinggi selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kemahiran, kebajikan dan keberhasilan rakyat", menurut kenyataan itu," katanya.
Antara elemen utama dalam RUU Pindaan Akta 652 termasuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan bagi merangkumi kementerian strategik serta badan profesional, sekali gus menjadikan dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan lebih inklusif.
Pindaan tersebut juga akan mengiktiraf program latihan kemahiran di luar National Occupational Skills Standard (NOSS) untuk tujuan pembiayaan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Sementara itu, RUU Pindaan Akta 640 pula bertujuan memperluas skop pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, termasuk memperluas skop Pinjaman Latihan Kemahiran dan Bantuan Kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Pindaan itu juga bertujuan memperkukuh tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan yang lebih telus, serta meningkatkan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan termasuk menetapkan tempoh had tindakan undang-undang selama 12 tahun dan sekatan perjalanan terhadap peminjam ingkar.
Dalam pada itu, Steven Sim turut memaklumkan bahawa bacaan kedua bagi pindaan akta-akta tersebut akan dibentangkan dalam sesi Parlimen yang sama.
"Bacaan kali kedua juga akan diadakan dalam mesyuarat kali ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.