KUALA LUMPUR, 10 November – Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan yang sihat pada Perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2025, disebalik cabaran daripada dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, yang dijangka mengalami kelembapan akibat perang dagang sejak tahun ini.
Menurut Profesor Madya di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Malaysia masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan berdaya tahan berikutan kekuatan ekonomi domestik dan penyesuaian semula pasaran eksport oleh syarikat tempatan.
“KDNK negara kini berada pada momentum yang baik, disokong oleh kekuatan ekonomi domestik. Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar fiskal, manakala Bank Negara turut menurunkan kadar OPR bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia memperbagaikan pasaran eksport, bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS dan mencari peluang baharu yang lebih berpotensi.
Dalam konteks strategi jangka sederhana, Dr. Aimi mencadangkan supaya Malaysia memperkukuh penggunaan dan pelaburan domestik sambil meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, dengan mencontohi model Kesatuan Eropah di mana negara serantau berdagang sesama sendiri bagi memacu pertumbuhan ekonomi.