SUNGAI PETANI, 2 Jun- Polis Kuala Muda berjaya menangkap hampir 320 penagih dadah di Daerah Kuala Muda, Kedah sepanjang Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan berkata ia hasil operasi skuad khas ‘All Black’ Militan Jihad Dadah yang ditubuhkan Polis Daerah Kuala Muda untuk memerangi dan membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah itu dan daerah-daerah berdekatan.
"Kita mempunyai iltizam untuk memastikan penagihan dadah ini berhenti dengan usaha-usaha yang dilakukan seperti ini. Kita berharap indeks jenayah di Kuala Muda ini akan berkurang.
"Selain memberikan keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat-rakyat Kuala Muda.Kebanyakan adalah penagihan methamphetamine dan juga penagihan-penagihan lain," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini.
Jumlah tangkapan tersebut jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya iaitu antara 50 hingga 60 tangkapan sebulan.
Skuad All Black Militan Jihad Dadah mula digerakkan dengan misi untuk memerangi aktiviti dadah sehingga ke peringkat akar umbi.
Skuad berkenaan akan turut digerakkan ke kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dadah boleh menyalurkannya kepada IPD Kuala Muda melalui talian 04–4299222.