fb fb fb fb fb

TH diberi penghormatan buka reruai sendiri di Jeddah

Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim

JEDDAH, 10 November - Malaysia terus memperkukuh peranan dalam pengurusan haji apabila Lembaga Tabung Haji (TH) diberi penghormatan membuka reruai sendiri pada Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah Peringkat Global yang berlangsung di Superdome, Jeddah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, turut menghadiri pameran berkenaan, sejurus selepas pertemuan rasmi dengan pihak berkuasa Arab Saudi.

Penganjuran kali ini amat signifikan apabila buat julung kalinya Malaysia tampil memperkenalkan inovasi dan kecemerlangan pengurusan haji, seiring pengiktirafan Anugerah Labbaitum 1446H/2025M yang diterima sebelum ini.

Upacara perasmian pembukaan disempurnakan Kementerian Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, yang menzahirkan komitmen berterusan negara itu dalam mempertingkat mutu perkhidmatan haji dan umrah di peringkat antarabangsa.

Lawatan ke reruai TH turut memberi peluang meninjau pelbagai inisiatif baharu termasuk pematuhan penginapan standard Tasnif serta pembangunan sistem digitalisasi bersama syarikat baharu, Holiday in Bakkah.

Kerajaan Madani menerusi Lembaga Tabung Haji akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal unggul dan menjadi model rujukan dunia Islam.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN