fb fb fb fb fb

Ekonomi Malaysia terus kukuh, sektor utama catat prestasi memberangsangkan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November — Usaha memperkukuh kepelbagaian ekonomi negara terus membuahkan hasil apabila semua sektor utama kekal berdaya saing dan menunjukkan prestasi kukuh pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kekuatan ekonomi negara berpunca daripada struktur ekonomi yang pelbagai serta tidak bergantung kepada satu produk atau pasaran semata-mata.

“Walaupun ekonomi dunia masih menghadapi banyak cabaran, alhamdulillah, ekonomi negara kita tetap kukuh. Ini kerana kepelbagaian segmen ekonomi yang ada di Malaysia, kita tidak bergantung hanya kepada satu produk untuk dijual, dan pasaran yang kita miliki juga pelbagai.

"Keistimewaan inilah yang menyokong ketahanan ekonomi Malaysia,” katanya pada Sidang Media selepas Majlis Pelancaran dan Sidang Media Innovathon Musim Ketiga 2025 di sini.

Tambah beliau, unjuran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menunjukkan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.

Unjuran itu disokong prestasi positif dalam semua sektor utama, termasuk sektor pembinaan, perbelanjaan swasta dan perlombongan.

“Berdasarkan unjuran awal daripada DOSM, pertumbuhan 5.2 peratus menunjukkan semua sektor ekonomi berkembang rancak. Sektor pembinaan meningkat lebih 11 peratus, perbelanjaan swasta melebihi 5 peratus, manakala sektor perlombongan pula berkembang lebih 10 peratus. Ini menunjukkan prestasi keseluruhan ekonomi adalah positif," katanya lagi.

Datuk Seri Amir Hamzah menjelaskan, pencapaian itu turut disokong oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan kerajaan.

Tahun lalu, jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM378.5 bilion, manakala bagi separuh pertama tahun ini, nilai pelaburan telah mencapai RM190.3 bilion, meningkat 18.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, unjuran berkenaan menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang kompetitif meskipun dalam suasana global yang masih mencabar.

Beliau menambah, hasil kukuh ini turut menunjukkan keberkesanan usaha kerajaan memperkukuh asas ekonomi melalui pelaksanaan inisiatif di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Program-program berkenaan, katanya, berjaya menarik pelaburan baharu berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor serta minyak dan gas.

Laporan rasmi prestasi ekonomi suku ketiga 2025 dijangka diumumkan oleh DOSM pada Jumaat ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM