MACHANG, 2 Jun- Seorang lelaki maut manakala 13 lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Machang–Pasir Puteh, berhampiran Kampung Banggol Judah, di sini lewat malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 11.55 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda, dan dua buah kereta dipercayai bertembung dari arah bertentangan.
Kemalangan menyebabkan pemandu salah sebuah kenderaan maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu, manakala lima penumpang lain dari kenderaan sama mengalami kecederaan.
Turut cedera, lapan individu lagi masing-masing lima individu menaiki kereta pacuan empat roda manakala selebihnya dari sebuah lagi kereta.
Situasi berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12.38 pagi dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis.