TAWAU, 10 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan yang memberi perhatian serius berhubung kebajikan penjawat awam termasuk pegawai perubatan.
Antaranya, isu beban tugas doktor dan doktor kontrak yang telah lama dibangkitkan.
Beliau berkata, kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi pegawai perubatan, pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian yang dinaikkan sekitar 40 peratus selepas 14 tahun tidak disemak, merupakan langkah awal ke arah memperbaiki struktur perkhidmatan kesihatan awam.
Kadar ETAP baharu itu mula berkuat kuasa Oktober lepas.
Turut dilaksana, semakin skim gaji penjawat awam yang kali terakhir dibuat 12 tahun lalu.
"Apabila terdapat permintaan supaya dikaji skim terlibat, sudah tentu kerajaan perlu memberi perhatian. Kenaikan 40 peratus ini walaupun belum secukupnya, tapi ia satu permulaan yang baik," ujar Perdana Menteri ketika berucap merasmikan bangunan baharu Hospital Tawau, di sini.
Keutamaan kerajaan adalah memastikan kebajikan penjawat awam termasuk pegawai perubatan terus terpelihara, seiring usaha menangani tekanan kos sara hidup rakyat.