BINTULU, 10 November - Sebuah rumah panjang 20 pintu di Semanok, Jalan Pesisir Jepak-Kuala Tatau, di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian melibatkan Rumah James Talib itu pada pukul 11.41 pagi.
"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dan dibantu BBP Bintulu telah digerakkan ke lokasi.
"Pasukan terlibat mendapati sebuah rumah panjang dengan struktur tidak kekal telah terbakar sepenuhnya. Beberapa kenderaan turut terbakar," menurut kenyataan tersebut.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.26 tengah hari dan tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.