KUALA LUMPUR, 2 Jun - Malaysia terus mengukuhkan kedudukan di persada antarabangsa apabila pasport negara tersenarai antara 10 teratas 'Global Passport Power Ranking' terkini.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja dihormati sebagai negara berdaulat, bahkan diyakini negara-negara lain dalam aspek keselamatan, diplomasi dan kebolehpercayaan pentadbiran.
Penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, kedudukan kukuh pasport Malaysia adalah hasil daripada hubungan diplomatik yang dibina secara tersusun dan konsisten, serta dasar luar negara yang pragmatik dan mesra pelbagai pihak.
"Kepercayaan terbina dengan negara-negara lain secara meluas ini juga membolehkan kita secara berterusan menerokai bidang pelancongan, pendidikan dan juga sektor kewangan dengan negara-negara lain.
"Ia dapat dijalin dengan lebih positif dan lebih baik berdasarkan kepada kepercayaan dalam konteks hubungan bilateral multilateral, selain turut beri pengiktirafan kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan negara lain," katanya
Beliau berkata, perkembangan ini juga secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana pasport Malaysia menjadi simbol penghormatan dan kepercayaan yang dibina berasaskan kestabilan dalaman serta peranan aktif Malaysia dalam pelbagai forum antarabangsa.