fb fb fb fb fb

Sokongan e-sukan perlu seimbang, tiada promosi aktif di sekolah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November - Pembangunan e-sukan di negara ini perlu dilaksanakan secara seimbang, dengan mengambil kira potensi pencapaian atlet serta kebimbangan mengenai ketagihan gajet dalam kalangan remaja.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kerajaan memberi sokongan kepada atlet e-sukan elit yang mewakili negara melalui Majlis Sukan Negara dan agensi seperti IMPACT. 

Namun, untuk peringkat sekolah, pendekatan yang lebih berhati-hati diambil bagi mengelakkan risiko penggunaan gajet secara berlebihan.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil dasar sangat konservatif untuk mempromosikan di sekolah. Buat masa ini, ketagihan gajet serta penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar kekal menjadi kebimbangan. Justeru, kawalan dan bimbingan bermula dari rumah oleh ibu bapa amat diperlukan agar minat terhadap e-sukan dapat diurus secara seimbang.

Setakat ini, tiada promosi secara aktif dilaksanakan sama ada oleh KBS atau Kementerian Pendidikan (KPM) ke atas e-sukan di sekolah. Beberapa siri libat urus telah diadakan bersama KPM dan hasil kertas cadangan serta draf garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah telah disediakan," beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, KBS bersama KPM kini dalam proses memuktamadkan garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah melalui siri libat urus melibatkan bahagian sukan, kokurikulum dan kesenian. 

Garis panduan tersebut dijangka membantu memastikan program e-sukan di institusi pendidikan dapat dijalankan secara teratur tanpa menjejaskan kesejahteraan pelajar.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ