fb fb fb fb fb

JAKIM selesai agih RM150 juta tahun ini, peruntukan khas diteruskan 2026

Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) / BERNAMA

PARLIMEN, 10 Oktober -Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya menyalurkan sepenuhnya peruntukan khas berjumlah RM150 juta tahun ini kepada institusi pendidikan Islam di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu membuktikan kecekapan JAKIM dalam memastikan bantuan sampai terus kepada golongan sasar.

“Sebanyak 1,250 Sekolah Agama Rakyat, termasuk 820 sekolah agama dan 430 premis KAFA bawah kerajaan negeri telah menerima RM87 juta.

Baki sebanyak RM62.9 juta pula diagihkan kepada institusi pendidikan Islam lain yang terpilih. Ini bermakna keseluruhan RM150 juta telah disalurkan sepenuhnya pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat, ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya.

Zulkifli menjelaskan, peruntukan berkenaan akan diteruskan tahun hadapan selaras pengumuman Belanjawan 2026 bagi memastikan institusi agama terus diperkasa.

Bantuan meliputi enam kluster utama, termasuk penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur, keselamatan, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, penyelenggaraan bangunan serta sistem perpaipan.

"Peruntukan tersebut merangkumi institusi pendidikan Islam termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Tahfiz, Institusi Pondok yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan kekal komited memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara agar terus berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan sahsiah masyarakat.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN