KUALA LUMPUR, 10 November - Usaha keterjaminan makanan dilaksana secara menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai kementerian, bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mampan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tumpuan itu melibatkan penyelarasan strategik antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta kementerian berkaitan lain.
"Memang hak keterjaminan makanan sekarang ini dibuat secara intensif. Bukan hanya KPKM tapi gabungan kementerian yang lain juga. Kita gabungkan tenaga dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri terlibat dalam keselamatan makanan ini," kata beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Tambahnya, bagi tahun 2026, KPKM memperuntukkan RM223 juta bagi melaksanakan sembilan projek pembangunan di Sarawak, termasuk di Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan, bagi meningkatkan pengeluaran padi di negeri tersebut.
Jelasnya tiada rancangan membawa pesawah dari Semenanjung untuk mengusahakan sawah di Sabah dan Sarawak, kerana kapasiti tempatan di kedua-dua negeri berkenaan mencukupi.