GUA MUSANG, 2 Jun - Kes keciciran mendaftar sijil kelahiran anak selepas 12 tahun, berjaya dikesan di Kelantan, menerusi Kembara Mesra Rakyat.
Kes terjadi disebabkan jarak yang jauh dari penempatan masyarakat Orang Asli, untuk bertemu agensi kerajaan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, kes terbabit berjaya diselesaikan di pos penempatan Orang Asli di Gua Musang.
Menurut Sapiah, usaha itu dilakukan dengan kerjasama rakan agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turun padang ke pos penempatan Orang Asli.
Katanya, kaunter JPN menjadi kaunter paling ramai dikunjungi masyarakat Orang Asli, apabila menerima kira-kira 140 permohonan gantian kad pengenalan, 10 permohonan lewat kelahiran, 145 permohonan MyKid, dan 138 khidmat nasihat kepada masyarakat Orang Asli.
"Kita dalam proses memberi perkhidmatan. Kita dapati kes dikenalpasti iaitu kelewatan pendaftaran surat beranak, kad pengenalan dan juga kenal pasti OKU yang tak termasuk dalam senarai jabatan kebajikan.
"Ini menjadi satu kelebihan JAKOA kerana kita dapat mengumpul data statistik masyarakat orang asli yang terdiri daripada OKU untuk memudahkan jabatan bersama jabatan kebajikan masyarakat untuk menyalurkan bantuan daripada pihak kerajaan." kata Sapiah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, program itu memberi kesan apabila agensi turun bertemu masyarakat orang Asli.
"Mereka tak perlu ke bandar untuk menyelesaikan masalah itu, kita hanya selesaikan di kawasan mereka.
"Insya-Allah program ini kita akan teruskan di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Pos Gob di kawasan pedalaman paling jauh di kawasan Gua Musang dan sekali lagi kita akan bersama agensi-agensi bagi membantu masyarakat kita orang asli," kata Mohd Azmawi Fikri.
Mereka ditemui selepas Program Kembara Mesra Rakyat di Pos Pasik dan Kuala Wook.
Selain JPN dan JKM, antara agensi kerajaan lain yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan.