fb fb fb fb fb

Tarif baharu dan ketidaktentuan ekonomi tekan unjuran penerbangan 2025- IATA

Willie Walsh, Pengarah Urusan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bercakap semasa mesyuarat agung tahunan IATA dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia (WATS) di New Delhi / AFP

NEW DELHI, 2 Jun- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada Isnin mengumumkan penurunan unjuran trafik perjalanan udara dan keuntungan syarikat penerbangan untuk tahun 2025, susulan ketidaktentuan ekonomi global dan ancaman tarif baharu yang dijangka membebankan industri penerbangan.

IATA kini menjangkakan kurang daripada lima bilion perjalanan udara tahun ini, turun daripada unjuran awal sebanyak 5.22 bilion perjalanan.

Penurunan itu mencerminkan kesan “headwinds” atau halangan ekonomi yang berlaku dalam separuh pertama 2025, kata Pengarah Urusan IATA, Willie Walsh, semasa mesyuarat agung tahunan di New Delhi.

Walsh menegaskan walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran, keputusan itu menunjukkan ketahanan yang telah dibina oleh syarikat penerbangan selama ini. Namun, keuntungan keseluruhan industri dijangka merosot sebanyak AS$600 juta, dengan unjuran keuntungan sebanyak AS$36 bilion berbanding unjuran sebelumnya yang lebih tinggi.

Pendapatan keseluruhan sektor penerbangan pula dijangka mencecah AS$979 bilion, kurang daripada sasaran awal hampir AS$1 trilion yang diumumkan pada Disember 2024.

Penurunan itu mencerminkan keadaan pasaran yang lebih mencabar dan ketidakpastian ekonomi global yang berlarutan.

Antara faktor risiko utama yang memberi tekanan kepada sektor ini adalah konflik berterusan seperti perang di Ukraine, ketegangan perdagangan antara negara, dan dasar tarif yang diperkenalkan oleh pentadbiran Amerika Syarikat, yang dilihat boleh menjejaskan permintaan bagi kargo udara dan perjalanan perniagaan.

Walsh memberi amaran bahawa apa-apa cukai baru, kenaikan caj lapangan terbang atau navigasi, kejutan permintaan, atau peraturan mahal akan menguji ketahanan industri yang kini beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis.

Daripada segi kos operasi, harga bahan api jet dijangka turun kepada purata AS$86 setong pada 2025, berbanding AS$99 setong pada 2024.

Penurunan tersebut dijangka membantu mengurangkan kos bahan api yang menyumbang 25.8 peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat penerbangan.

Walaupun harga minyak turun, risiko ketidaktentuan akibat dasar perdagangan Amerika Syarikat dan konflik global tetap menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi industri penerbangan untuk kekal stabil dan berkembang.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE