fb fb fb fb fb

Ucapan kebencian, mengapa kita tidak boleh berdiam diri

FOTO HIASAN

SAUDARA PENGARANG

Di era digital ini, media sosial telah menjadi medium utama untuk semua golongan masyarakat berkongsi pandangan, bertukar idea, dan berinteraksi.

Namun, di sebalik manfaatnya, kita juga menyaksikan peningkatan ucapan kebencian atau hate speech. Jika dibiarkan, ucapan kebencian boleh menjadi senjata yang mampu menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ucapan kebencian merujuk kepada kata-kata, tulisan, atau imej yang menyerang seseorang atau kumpulan berdasarkan kaum, agama, jantina, atau identiti lain. Sifat media sosial yang pantas dan terbuka menjadikan penyebaran ucapan kebencian sukar dibendung.

Ucapan kebencian tidak boleh dipandang ringan. Dari sudut individu, kesannya boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi, membuatkan seseorang berasa terhina, terpinggir, atau terancam. Kesan ini lebih ketara terhadap golongan minoriti atau golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan orang kelainan upaya yang sering menjadi sasaran serangan berunsur kebencian.

Bagi masyarakat pula, ucapan kebencian boleh mencetuskan salah faham antara kaum, sekali gus menghakis perpaduan yang telah dibina sejak sekian lama. Lebih parah lagi, ia berpotensi menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara serta boleh menggagalkan agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai saling menghormati dan kehidupan harmoni.

Isu ucapan kebencian ini adalah sangat kritikal di Malaysia. Apa sahaja berita, maklumat, atau paparan yang dimuat naik di portal berita atau media sosial seseorang individu boleh diputar belit atau dijadikan bahan propaganda dan stereotaip oleh golongan tertentu untuk agenda mereka sendiri. Walaupun kandungan tersebut bersifat hiburan atau informasi umum, ia tetap berisiko dimanipulasi hingga menjadi ucapan berbaur kebencian dan digunakan untuk menyerang golongan tertentu.

Sifat sebahagian rakyat negara ini yang tidak gemar membaca, tidak membuat kajian mendalam,  hanya membaca tajuk berita tanpa memahami kandungan, terlalu emosional dan mudah terikut-ikut dengan pendapat orang lain menjadikan penyebaran ucapan kebencian semakin sukar dibendung.

Tahap literasi media dalam talian juga boleh dikatakan berada pada tahap yang rendah. Ramai tidak dapat membezakan antara kritikan membina dengan ucapan kebencian. Golongan tidak menyedari bahawa pendapat mereka boleh menyebabkan sesuatu isu menjadi sensasi.

Salah satu cara untuk mengatasi masalah ucapan kebencian ini ialah dengan memperkukuh pendidikan literasi digital. Masyarakat harus dididik untuk mengenal pasti ucapan kebencian, membezakannya daripada pandangan biasa, serta melaporkannya melalui saluran yang betul.Pendidikan ini boleh dilaksanakan melalui sekolah, universiti, malah melalui kempen komuniti. Literasi digital bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga melibatkan nilai dan tanggungjawab sosial.

Kedua, syarikat teknologi dan platform media sosial perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar. Algoritma yang digunakan wajar disemak semula supaya tidak mengutamakan kandungan sensasi semata-mata. Pihak berkuasa juga perlu bekerjasama dengan syarikat teknologi untuk mewujudkan mekanisme pelaporan yang lebih mudah diakses rakyat.

Ketiga, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara kawal selia undang-undang dan kebebasan bersuara. Undang-undang harus dilaksanakan dengan telus dan adil. Pada masa yang sama, rakyat perlu diyakinkan bahawa tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyebaran ucapan kebencian bukan bermotifkan politik, tetapi demi melindungi keharmonian negara.

Keempat, masyarakat sivil, NGO, dan individu juga boleh menjadi ejen perubahan. Lebih ramai individu perlu berani tampil untuk melaporkan ucapan kebencian, menegur secara beretika dan menyebarkan mesej positif. Sudah tiba masanya masyarakat mengambil pendekatan zero tolerance terhadap ucapan kebencian.

Ucapan kebencian dalam talian adalah cabaran besar bagi Malaysia. Namun, masalah ini bukan mustahil untuk ditangani. Malaysia perlu memilih jalan yang bukan sahaja menjaga kebebasan bersuara, tetapi juga memelihara keharmonian masyarakat majmuk kita.

Akhirnya, pilihan ada di tangan kita. Aadakah kita mahu menggunakan media sosial untuk membina perpaduan, atau untuk menambah jurang perpecahan?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.



DR. ANN BALARAM
Dr. Rani Ann Balaraman
Pensyarah (Kewartawanan) Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia USM
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE