fb fb fb fb fb

Kelewatan operasi, KTMB beri diskaun 50 peratus kepada penumpang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberikan diskaun tambang perjalanan sebanyak 50 peratus kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang yang terkesan akibat kelewatan operasi tren.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan diskaun ditawarkan untuk semua jenis tiket termasuk kategori konsesi selama dua hari bermula esok hingga 4 Jun.

''KTMB memohon maaf kepada para penumpang tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang yang terkesan susulan kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan yang sedang dilaksanakan di antara Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan yang dimulakan sejak tiga hari lepas.

''Penumpang ETS yang terkandas di beberapa lokasi seperti Stesen KL Sentral telah dibekalkan dengan air minuman dan makanan ringan.

''Notifikasi kelewatan melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) telah dihantar kepada para penumpang dan kakitangan KTMB di stesen-stesen utama juga telah ditempatkan bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar,'' menurut kenyataan itu.

Kerja-kerja naik taraf sistem semboyan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Ia sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf bawah projek Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang 1 (KVDT 1) untuk memastikan sistem semboyan yang lebih cekap, selamat dan mampu menyokong operasi tren penumpang yang semakin meningkat di Lembah Klang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI