fb fb fb fb fb

PLATS digital lonjak usahawan mikro, MAPS 2025 rai pencapaian

Seramai 12 usahawan mikro terbaik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala lima usahawan menerima anugerah kategori khas

KLANG, 2 Ogos – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 kepada 18 penerima yang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM32,000, beserta trofi dan plak penghargaan.

Daripada jumlah itu, seramai 12 usahawan mikro terbaik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala lima usahawan menerima anugerah kategori khas meliputi Komuniti, Muda, Revolusi Teknologi, Inovasi dan Wanita.

Mereka merupakan usahawan mikro dan kecil negeri ini yang berjaya menonjol sepanjang mengikuti program Latihan Pembangunan Usahawan (U-PLATS) Digital.

Pemilik perniagaan Kopi Opu, Kartinie Ramli dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Utama Usahawan Mikro, manakala empat usahawan lain menerima Anugerah Peserta Terbaik U-PLATS Halal atas kejayaan mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sembah ucapannya menyeru semua pihak terus berganding bahu memperkasa usahawan mikro serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.

“Dikesempatan ini, patik ingin mengajak semua pihak, sama ada agensi kerajaan, pemain industri, institusi kewangan mahupun masyarakat untuk terus berganding bahu membangunkan usahawan mikro dan PMKS.

"Bantu mereka berkembang, bersaing secara sihat serta berjaya, seterusnya memberi pulangan semula kepada negeri.
Kita mahu lahirkan usahawan mikro hari ini sebagai pemilik perniagaan berjaya pada masa depan,” katanya.

Sehingga kini, lebih 88,000 peniaga mikro telah berdaftar dan menyertai pelbagai program di bawah inisiatif Platform Selangor (PLATS), merangkumi akses digitalisasi, latihan keusahawanan, bantuan pembiayaan serta peluang pasaran.

Usaha tersebut selari dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pemerkasaan keusahawanan.

Majlis yang berlangsung di Klang itu turut dihadiri EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE