fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim lakar sejarah, Agong pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia

FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melakar sejarah apabila berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini, atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir V. Putin.

Lawatan tersebut menjadikan Sultan Ibrahim, Ketua Negara Malaysia yang pertama melaksanakan Lawatan Negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada tahun 1967.

Istana Negara dalam kenyataan menyebut, lawatan bersejarah itu mencerminkan peranan penting institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara, selain memperkukuh hubungan dua hala sedia ada serta membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi, inovasi dan hubungan sesama rakyat.

“Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dengan Rusia selaku Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.

Semasa di Moscow, Seri Paduka Baginda akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Kremlin serta mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Putin, selain berkenan menghadiri Majlis Santapan Negara.

Sultan Ibrahim turut berkenan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.

Selesai lawatan di Moscow, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Kazan, Republik Tatarstan, pada 8 Ogos bagi menerima menghadap Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan, serta melawat pusat pembuatan dan pemasangan helikopter di republik yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.

Lawatan berkenaan dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Rusia, seiring hasrat memperkukuh jaringan diplomatik dan ekonomi negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE