KUALA NERANG, 2 Ogos - Wanita yang dilaporkan hilang berhampiran Jambatan Lebuhraya Tekih, Kampung Pinang, Pedu, sejak semalam ditemukan lemas di Jeram Tok Din, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Aminuddin Mad Khozali, berkata mangsa yang berusia 32 tahun ditemukan orang awam yang berkhemah di kawasan itu.
"Pihak bomba dengan kekuatan enam anggota bergerak ke lokasi kejadian dan membawa naik mangsa ke darat pukul 10.00 malam," katanya menerusi satu kenyataan.
Semalam, seorang wanita dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas berkemungkinan terjatuh ke sungai di Jambatan Lebuhraya Tekih, di sini.
Wanita berkenaan dilaporkan hilang dan sebuah kereta dipercayai miliknya ditemui atas jambatan.
Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan Bomba dan polis di lokasi kejadian pada pukul 5.30 petang.