fb fb fb fb fb

Pemandu e-hailing sambut baik kenaikan kelayakan BUDI RON95

Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang Mohamad Shahimi Hadzri ditemu bual ketika tinjauan maklum balas pemandu e-hailing di Butterworth/RTM

BUTTERWORTH, 5 November - Keputusan kerajaan menaikkan kelayakan subsidi BUDI MADANI RON95 kepada 800 liter sebulan disambut baik oleh pemandu e-hailing.

Rata-rata mereka mengakui kelayakan sebelum ini seringkali tidak mencukupi untuk menampung pergerakan harian yang intensif.

Malah ada yang menyuarakan keperluan untuk kelayakan lebih tinggi kerana melibatkan perjalanan jarak jauh.

"Saya guna dalam 15 hari habis. Saya bawa grab atau teksi, kalau nak pergi balik Kuala Lumpur dalam 2-3 kali memang penat, seribu liter cukuplah. Memang bawa grab atau teksi ulang-alik rumah pun jauh," kata pemandu e-hailing Mohd Kamarudin Syed di sini.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang Mohamad Shahimi Hadzri berkata kelayakan 600 liter tidak mencukupi bagi perjalanan jarak jauh.

"600 liter tu kadang-kadang tidak mencukupi. Perjalanan jarak jauh contoh dari sini ke Kuala Lumpur, minyak guna separuh habis. Tapi dengan adanya peningkatan kelayakan ini alhamdulillah cukup," kata Mohamad Shahimi.

Seorang lagi pemandu e-hailing R. Anburaja turut bersetuju dengan kenaikan kelayakan kepada 800 liter.

"Dengan kenaikan sehingga 800 liter, cukup untuk perjalanan teksi," katanya di sini.

Kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk meringankan beban kos operasi pemandu e-hailing aktif.

Kelayakan subsidi BUDI MADANI RON95 telah ditingkatkan dari 600 liter kepada 800 liter sebulan.

Keputusan tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, hasil penelitian terhadap keperluan sebenar pemandu yang memerlukan penggunaan petrol yang tinggi bagi menjana pendapatan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ