KUALA LUMPUR, 5 November – Malaysia terus komited memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha memacu ekosistem "Startup ASEAN" ke tahap yang lebih tinggi.
Langkah berkenaan sejajar dengan aspirasi menjadikan rantau ini antara hab inovasi global terkemuka.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang,tumpuan utama kini meningkatkan kerjasama dalam bidang dasar inovasi, pelaburan dan mobiliti bakat.
Ini bagi memastikan tiada negara, syarikat pemula mahupun inovator yang tertinggal di belakang dalam arus kemajuan serantau.
''Malaysia melalui MOSTI dan Cradle, akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sejawatan ASEAN, rakan ekosistem, serta sektor swasta bagi memastikan Startup ASEAN terus berkembang sebagai satu gerakan serantau yang mampan dan berimpak tinggi.
"Aspirasi kolektif jelas meletakkan ASEAN antara ekosistem startup terbaik di peringkat global, serta membina sebuah rantau yang diiktiraf bukan sahaja atas potensi pasarannya, tetapi juga kerana daya inovasi, kreativiti, dan ketahanannya'', kata beliau pada ucapan penutup Cradle LIVE! Sidang Kemuncak Startup ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak itu diadakan selama tiga hari menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari semua Negara Anggota ASEAN (AMS) dan seluruh dunia.
Ini termasuk wakil kerajaan, pelabur, pembangun ekosistem, dan pengasas startup.
Acara tersebut merupakan usaha kolektif untuk memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab inovasi dan keusahawanan global.
Acara itu yang bertemakan “Scaling Startups Beyond Borders” merupakan persidangan teknologi Startup ASEAN pertama di bawah Pengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.