KUALA TERENGGANU, 5 November - Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor menamatkan perkhidmatan selepas 32 tahun berkhidmat di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).
Beliau menyifatkan pengalaman lebih tiga dekad di RTM penuh cabaran, namun menjadi pendorong untuk memberi khidmat terbaik.
"Antara cabaran ketika mengemudi stesen penyiaran negeri ialah dari aspek pengurusan terutama pada era ini. Kita juga perlu mengendalikan kakitangan dengan sebaiknya untuk memastikan setiap yang disasarkan berjaya dicapai," jelasnya selepas Majlis Titipan Memori Seikhlas Budi di RTM Terengganu, di sini.
Beliau turut menekankan tanggungjawab besar yang digalas RTM dalam menyampaikan dasar dan maklumat sahih kepada rakyat, terutama dalam mendepani era digital yang semakin mencabar.
"Generasi muda perlu meneruskan legasi di RTM dengan penuh integriti dan ikhlas. Ini merupakan tunjang utama dalam perkhidmatan awam," ujarnya.
Beliau sebelum ini pernah bertugas di Seksyen Berita Radio dan Berita TV di Angkasapuri, setiausaha akhbar kepada salah seorang menteri dan Pengarah Penyiaran Perak.