fb fb fb fb fb

Tiada pegawai ATM bertugas di Sudan ketika ini

Penduduk Sudan yang dipindahkan melarikan diri dari El-Fasher di kem Um Yanqur di wilayah Darfur/AFP

KUALA LUMPUR, 5 November - Tiada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di bawah misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan ketika ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dua pegawai pemerhati ATM yang berkhidmat di bawah misi Pasukan Keselamatan Interim PBB untuk Abyei (UNISFA) telah menamatkan perkhidmatan masing-masing pada September dan bulan ini, selepas melengkapkan tempoh setahun perkhidmatan.

"Kedua-duanya kini telah selamat kembali ke tanah air dan melapor untuk tugasan baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, kementerian mengambil maklum situasi terkini di El Fasher yang melibatkan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Beliau berkata penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei, kawasan sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan, kira-kira 815 kilometer dari lokasi konflik semasa di El Fasher.

"Pihak PBB diyakini akan terus menilai tahap keselamatan di Sudan bagi memastikan setiap penugasan dilaksanakan dalam keadaan yang stabil dan selamat, demi menyokong aspirasi keamanan serta kestabilan serantau," kata beliau.

Malaysia kekal komited untuk terus menyokong usaha keamanan global melalui penugasan pegawai pemerhati ATM di bawah panji PBB apabila keadaan mengizinkan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ