fb fb fb fb fb

Pelantikan MPN PKR: Mohamad Abdul Hamid perkukuh perpaduan

Di Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid diumumkan sebagai Pengerusi MPN baharu, menggantikan Nurul Izzah Anwar yang menyandang jawatan tersebut pada penggal lalu / Foto RTM

BAYAN LEPAS, 2 Ogos - Pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai satu amanah besar dalam mengemudi parti di peringkat negeri.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, beliau akan terus komited serta tumpuan akan diberikan terhadap usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan pimpinan cabang selain meneruskan siri jelajah untuk mendengar pandangan ahli di peringkat akar umbi.

"Perkara utama yang akan dilaksanakan adalah memperkukuh kekuatan di peringkat akar umbi melibatkan 13 cabang PKR di Pulau Pinang.

Kita baru sahaja selesai proses pemilihan di peringkat cabang dan sebagai Ketua Cabang Tasek Gelugor, saya akan memulakan siri jelajah ke semua cabang bagi mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi terlebih dahulu.

Selepas itu, barulah kita bakal mengumumkan langkah-langkah seterusnya untuk melonjakkan gerak kerja parti di peringkat negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang Halal & Heritage Carnival (P2HC) Edisi Laksa di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, PKR mengumumkan barisan pelantikan baharu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) termasuk beberapa jawatan Biro tambahan selepas mengadakan mesyuarat parti, Khamis lalu.

Di Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid diumumkan sebagai Pengerusi MPN baharu, menggantikan Nurul Izzah Anwar yang menyandang jawatan tersebut pada penggal lalu.

Pelantikan itu turut menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN negeri.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE