fb fb fb fb fb

Operasi cari mangsa kapal layar Turkiye karam diteruskan

Operasi digerakkan dengan kekuatan 29 anggota menggunakan kapal KM Sebatik, Bot Penggalang 45 dan PSC25 Bot Marin

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Operasi Carilamat seorang lagi warga Turkiye, Eser Demirkol, 52, yang hilang selepas kapal layar Daisy karam di perairan Pulau Yu, diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian merangkumi 73.5 batu nautika persegi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi bermula 7 pagi melibatkan aset udara dan laut milik APMM bersama Pasukan Polis Marin.

Operasi digerakkan dengan kekuatan 29 anggota menggunakan kapal KM Sebatik, Bot Penggalang 45 dan PSC25 Bot Marin.

Pasukan penyelam dari Skuadron Selam Maritim dijadual melakukan selaman esok di lokasi yang telah dikenal pasti.

“Pasukan penyelamat komited meneruskan usaha pencarian hingga mangsa terakhir ditemukan,” katanya.

Terdahulu, tiga lelaki warga Turkiye iaitu kapten kapal, Ahmet Volkan Ata, 52; Ates Demiroren, 42; dan Eser Demirkol, merancang melakukan pelayaran mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka pada Isnin lepas.

Namun pada petang Selasa, kapal layar yang dinaiki dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.

Demiroren diselamatkan nelayan tempatan ketika terapung di laut, manakala Volkan Ata ditemui selamat selepas hampir 43 jam terapung sebelum diselamatkan bot nelayan.

Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan dilaporkan stabil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE