fb fb fb fb fb

Perpaduan bukan pilihan tetapi keperluan nasional - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Perpaduan nasional menjadi keperluan utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan lebih mampan dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpaduan adalah asas kepada pembangunan dan menjadi pemangkin kemajuan negara.

"Malaysia hanya akan terus teguh jika kita kukuh berpadu. Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan.

"Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan," katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Hadir sama pada istiadat itu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan jemaah kabinet.

Pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sebaliknya kemudahan asas seperti sekolah, hospital dan jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf serta ditingkatkan.

Kerajaan tidak boleh menjanjikan harapan semata-mata kepada rakyat tetapi tetapi harus dibela secara nyata dan berterusan.

Selain itu, strategi meningkatkan pendapatan rakyat akan terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI