fb fb fb fb fb

Platform digital 'MYJPJ' perkukuh keselamatan jalan raya

Foto Hiasan

SEPANG, 13 November - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) giat melakukan transformasi digital bagi memperkukuh keselamatan jalan raya menerusi platform digitalnya, MYJPJ.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Digital, Seksyen Pengurusan Digital JPJ, Hanita Mohd Kassim, fungsinya ditambah baik dan menyokong penggunaan data serta sistem analitik jabatan, yang membantu menjejak kesalahan trafik serta mengenal pasti corak kemalangan di seluruh negara.

Melalui integrasi ini, pelbagai sumber data daripada MyJPJ digunakan bagi menyokong analisis dalaman jabatan, termasuk maklumat yang diterima melalui modul eAduan MyJPJ.

Beliau berkata maklumat yang diterima melalui modul eAduan MyJPJ membolehkan pengguna melaporkan kesalahan jalan raya seperti pemandu membuat pusingan 'U' di lokasi tidak dibenarkan, melanggar lampu isyarat merah atau kenderaan yang mempunyai masalah teknikal seperti lampu brek tidak berfungsi.

“Data yang diperoleh daripada aduan tersebut akan digabungkan dengan pangkalan data sedia ada JPJ untuk tujuan analisis dan ramalan trend kesalahan jalan raya. Melalui pendekatan ini, kami boleh mengenal pasti jenis kesalahan yang paling kerap berlaku, lokasi berisiko tinggi serta profil pemandu yang sering melakukan kesalahan,” katanya kepada RTM di Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025.

Beliau menjelaskan, data yang dikumpul dikemas kini setiap hari bagi membantu pengurusan tertinggi JPJ merancang tindakan penguatkuasaan secara lebih bersasar dan berkesan.

“MyJPJ bukan sekadar memudahkan urusan digital rakyat, tetapi turut menjadi platform penting yang menyokong usaha JPJ memperkukuh keselamatan jalan raya berdasarkan analisis data sebenar,” katanya.

SITI SALWA BINTI YUSOP