LIMBONGAN, 13 November -Lebih 8,180 kenderaan di Melaka telah diperiksa sepanjang enam siri Operasi Bersepadu sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,285 kenderaan telah dikenakan tindakan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, sepanjang operasi berkenaan, JPJ Melaka telah mengeluarkan 1,877 notis saman, manakala 194 notis saman turut dikeluarkan Polis Melaka atas pelbagai kesalahan teknikal dan trafik.
Agensi Antidadah Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka juga telah menjalankan saringan terhadap 814 individu dengan 18 daripadanya positif dadah.
"Bagi Operasi Bersepadu yang dijalankan pada hari ini, 12 November 2025, penyertaan melibatkan agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK, hasil operasi ini menunjukkan komitmen tinggi antara agensi dalam membanteras pelbagai kesalahan jalan raya dan penyalahgunaan dadah. Antara pencapaian operasi ialah 745 buah kenderaan telah diperiksa.
"72 buah kenderaan telah diambil tindakan dan sebanyak 193 notis saman dikeluarkan Pihak JPJ dan notis saman yang dikeluarkan oleh PDRM atas pelbagai kesalahan teknikal dan trafik bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 teh notis saman dikeluarkan.Pihak AADK juga telah menyaring seramai 23 orang dan tiada didapati yang positif dadah," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu, di sini.
Siti Zarina menegaskan, kerjasama strategik dan bersepadu antara JPJ, PDRM, AADK serta agensi lain akan terus diperkukuh bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya terjamin.
Kerjasama itu penting bagi membanteras isu-isu seperti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu, pelanggaran peraturan jalan raya, serta keberadaan warga asing tanpa dokumen sah di negara ini.
Dalam perkembangan lain, JPJ turut melaksanakan pengurangan bayaran saman sebanyak 50 peratus bagi saman yang boleh dikompaun bermula 1 November hingga 30 Disember depan.
Setakat ini, sebanyak 1,392 transaksi saman berjaya dijelaskan dengan kutipan hasil RM180,160.