TASHKENT, 2 Jun - Kerajaan sedang meneliti semula peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.
Langkah itu bagi memperkenalkan kewajipan lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia termasuk cadangan pindaan yang mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak, serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.
Beliau menyampaikan ucapan “Creating a Safer Digital Future:Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection” pada persidangan Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 di sini pada Ahad.
Beliau turut menegaskan kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) membawa pelbagai manfaat kepada manusia, namun ia turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk eksploitasi baharu terhadap kanak-kanak, khususnya dalam talian.
"Forum berprestij ini merupakan platform penting untuk Malaysia menzahirkan iltizam dan komitmen dalam mendepani cabaran undang-undang global, khususnya berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam era digital," kata Azalina dalam satu kenyataan.
Dalam majlis yang sama juga, satu Memorandum Persefahaman
(MoU) baharu selama 3 tahun telah di tandatangani bersama Menteri Keadilan Republik Uzbekistan Akbar Tashkulov.
Perjanjian itu mengenai pertukaran kepakaran perundangan, kerjasama dalam pembaharuan institusi keadilan, serta pengukuhan kapasiti sistem kehakiman kedua-dua negara.
Selain itu, Azalina sempat bertemu Menteri Keadilan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Qatar, Ibrahim bin Ali bin Issa Al Hassan Al Mohannadi, dalam membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara Malaysia dengan Qatar.
Dalam lawatannya, beliau turut menerima kunjungan Ketua Bahagian dan Kaunselor Kanan, Direktorat Tadbir Urus Awam, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Dr. Tatyana Teplova, bagi kerjasama strategik untuk mempertingkatkan tadbir urus digital negara.