fb fb fb fb fb

Agong seru rakyat perlu bersatu, pemimpin hindar isu sensitif

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar kekal bersatu padu demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

Baginda juga mengingatkan pemimpin politik untuk tidak memainkan isu sensitif hingga menimbulkan perbalahan dalam masyarakat.

"Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

"Begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti maka rakyat akan lebih berpecah belah dan benci membenci di antara satu sama lain. Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan.

"Tidak ada hadiah yg lebih istimewa buat diri saya selain daripada rakyat yang bersatu padu," titah baginda. 

Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara.

Sultan Ibrahim turut menyeru penjawat awam untuk mengamalkan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Penjawat awam mesti bebas pengaruh politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI