KUALA LUMPUR, 2 Jun - Seramai 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini.
Mendahului senarai penerima ialah Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed Hashim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pula dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang turut bergelar Tan Sri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abd Shukor Mahmood dan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Datuk Donald Joseph Franklin antara lima individu dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Penerima lain ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Ramzi Mansor dan Pakar Bedah Kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah, Datuk Dr. Simon Jerome Vendargon.
Darjah lain yang turut dikurniakan termasuk Johan Mangku Negara (JMN) kepada tujuh individu, Johan Setia Mahkota (JSM) kepada empat individu dan Johan Setia Diraja (JSD) kepada tiga individu.
Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) pula dikurniakan kepada 14 individu, manakala Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) kepada dua individu dan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) kepada 16 individu.
Dalam pada itu Pingat Pangkuan Negara (PPN) dikurniakan kepada 45 individu dan Pingat Bentara Setia Diraja (BSD) kepada tiga individu.
Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) pula dikurniakan kepada seorang penerima iaitu Leftenan Komander, Mohd Firdaus Arbaain daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disanjung atas keberaniannya menyelamatkan mangsa tragedi bot terbalik di Teluk Batik, Perak.
Majlis penganugerahan ini menzahirkan penghargaan tertinggi negara terhadap individu yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti kepada negara dan rakyat Malaysia.