fb fb fb fb fb

UM semarak Bulan Kemerdekaan, 5,000 warga kampus kibarkan Jalur Gemilang

FOTO UNIVERISIT MALAYA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Universiti Malaya (UM) menyemarakkan semangat patriotisme dengan menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, hari ini.

Program itu menghimpunkan lebih 5,000 warga universiti termasuk barisan pengurusan tertinggi, dekan, pengarah fakulti, staf, pelajar serta orang awam yang melalui kawasan kampus, sebagai lambang perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan manifestasi sokongan universiti terhadap inisiatif nasional Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang.

“Sebagai universiti tertua di negara ini, Universiti Malaya memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam mencorak minda intelektual, tetapi juga memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air. Kibarkan Jalur Gemilang, biar seluruh dunia tahu, kita bangga menjadi anak Malaysia!” katanya.

Sementara itu, Yang Menjalankan Fungsi Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Siti Salwa Md Padzil berkata, majlis tersebut menjadi simbolik permulaan kepada rangkaian acara sambutan kemerdekaan peringkat kampus.

Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi menyuburkan semangat patriotik dan memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam kalangan warga UM.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE