AYER KEROH, 10 November - Melaka mencatatkan penyertaan tertinggi Malaysia Techlympics 2025 dengan 509,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Menteri Sains dan Teknologi, Chah Lih Kang berkata, sejak mula dilaksanakan pada Mei lepas, jumlah penyertaan mencecah 1.8 juta peserta, sekaligus menjadikan program berkenaan antara pemangkin utama dalammemupuk budaya inovasi dan penguasaan teknologi.
Program turut melibatkan pelajar dari Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Mongolia.
"Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan sesuatu program berupaya memacu agenda sains, teknologi dan inovasi negara.
"Sekaligus memberi manfaat kepada rakyat di negeri penganjur dan MOSTI juga bersedia memberi tumpuan dalam pembudayaaan sains, teknologi dan inovasi", katanya selepas penutup Program Techlympics 2025 peringkat kebangsaan, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Program Malaysia Techlympics 2025 peringkat akhir itu turut mencipta sejarah apabila berjaya mencatat dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) secara serentak.
Pengiktirafan tersebut bagi kategori Penyertaan Terbesar dalam Pertandingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Belia Antarabangsa serta Bilangan Dron Terbanyak Diterbangkan Serentak Di Dalam Bangunan.