fb fb fb fb fb

PERHILITAN pantau dan usir gajah liar berkeliaran di Kampung Dendang

Gajah berkenaan kini dikesan berkeliaran di kawasan perumahan penduduk yang jaraknya tidak sampai 500 meter dari lokasi sebelum ini/RTM

DUNGUN, 10 November -Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang memantau rapi dan berusaha menghalau gajah liar yang didapati berkeliaran di Kampung Dendang, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tindakan menangkap dan memindahkan gajah berkenaan akan dilakukan jabatan itu sekiranya usaha menghalaunya tidak berjaya.

Sementara itu, penduduk berkenaan, bimbang apabila seekor gajah liar yang sebelum ini berkeliaran di kawasan kampung telah muncul semula dan merosakkan tanaman mereka. 
 
Binatang liar berkenaan ditemui berkeliaran di sekitar kampung mereka sejak seminggu lalu dan memusnahkan pelbagai tanaman penduduk seperti pisang dan kelapa.

Penduduk kampung, Suhaila Yaakub, 50 tahun berkata, pengalaman berdepan dengan binatang liar berkenaan dua hari lepas menyebabkan dia dan keluarga kini hidup dalam kebimbangan.
 
Katanya ketika kejadian, dia sedang berjalan kaki ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Subuh dan terkejut apabila melihat haiwan itu di seberang jalan dekat rumahnya.

"Kita melihat sama ada itu gajah atau bukan. Perasaan takut memang ada kerana tidak pernah melihat haiwan sebesar itu sebelum ini. Apabila melihatnya dari dekat, nampak seperti berbahaya, jadi kami rasa tidak selamat untuk mendekatinya kerana bimbang ia mungkin menyerang," kata Suhaila.

"Memang saya berasa bimbang apabila melihat anak-anak, maklumlah mereka masih kecil dan pula kembar dua orang. Tambahan pula, mereka bertanya di mana gajah itu berada. Itulah yang menimbulkan kebimbangan, kerana kawasan kejadian terlalu dekat dengan rumah kami," Rosmadi Mat Zali.

 
 

TETITIA YUSOFF