fb fb fb fb fb

Tuntutan MA63: Kerajaan komited laksana rundingan berterusan

FOTO BERNAMA

TAWAU, 10 November - Kerajaan Persekutuan kekal komited melaksanakan tanggungjawab berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi rundingan berterusan bersama kepimpinan Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasil rundingan yang dijalankan pada tahun 2023 hingga 2024 membuktikan kerajaan tidak berdiam diri dalam isu pembayaran khas kepada dua negeri berkenaan.

Menurutnya, meskipun mahkamah pernah menyatakan tiada rundingan dibuat, realitinya kerajaan Persekutuan telah melaksanakan sesi perbincangan secara rasmi melibatkan pelbagai peringkat.

Ini termasuk dengan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Sekarang RM600 juta kepada Sabah setahun.Cukup belum. Sabah dan Sarawak kata kita mesti runding lagi. Saya kata itu caranya. Kamu bertempur. Gaduh-gaduhlah sama bila pun. Tetapi masa berkuasa dulu tak ada pula yang runding. Yang runding sekarang," katanya di sini.

Datuk Seri Anwar berkata keputusan itu bersifat sementara selagi rundingan muktamad belum dicapai, namun menunjukkan kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu legasi MA63 secara adil dan inklusif.

Langkah itu sekali gus menandakan era baharu hubungan Persekutuan dan negeri-negeri Borneo berasaskan semangat kerjasama serta keadilan dalam perkongsian hasil dan pembangunan negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM