KUALA LUMPUR, 10 November - Pelaksanaan Ikhtiar PuTERA35 terus menunjukkan hasil yang positif, dengan pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera meningkat kepada RM8,220 pada tahun 2024 berbanding RM7,599 pada tahun 2022.
Menteri Kewangan II, yang juga Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kadar kemiskinan Bumiputera turut menurun daripada 7.9 peratus pada tahun 2022 kepada 6.6 peratus pada tahun 2024, menandakan keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial yang dilaksanakan di bawah strategi PuTERA35.
"Di bawah RP1, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk pembangunan usahawan Bumiputera. Daripada jumlah tersebut, RM61 juta diperuntukkan untuk melaksanakan tiga program pembiayaan PKS Bumiputera di bawah TERAJU.
"Pengagihan dana oleh TERAJU akan disalurkan kepada PKS Bumiputera yang layak, manakala penjajaran agensi mandat di bawah Kementerian Ekonomi sedang dijalankan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan tanggungjawab masing-masing.
"Selain itu, RM139 juta diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju bagi melaksanakan program pembangunan bakat Bumiputera," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Belanjawan 2026 Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Pemantauan inisiatif PuTERA35 akan dipantau oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bagi tujuan pembasmian kemiskinan di bawah Kementerian Ekonomi, sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada tahun 2026.
"Sehingga 31 Oktober 2025, sejumlah 6,770 isi rumah miskin tegar, miskin, dan B40 telah diluluskan untuk menyertai program IPR, dengan pendapatan purata peserta melebihi RM2,000 sebulan," katanya lagi.